Saturday, May 7, 2011

Ke mana hala tuju Melayu Singapura?

Masakan tidak, hampir semua GRC meletakkan seorang Melayu dalam barisan calonnya, baik PAP mahupun pembangkang contohnya Perikatan Demokratik Singapura (SDA) yang meletakkan

Mohammed Rahizan Yaacob di Moulmen Kallang dan Mohammad Shafni Ahmad di Pasir Ris-Punggol.

Menariknya, Parti Perpaduan Nasional (NSP) juga tidak ketinggalan meletakkan Ketua Biro Melayu, Nor Lella Mardiiah Mohamed bertanding di GRC Chua Chu Kang walaupun ia baru dilancarkan setahun lalu.

Malah pengumuman penubuhan biro serupa dalam Parti Rakyat Singapura (SPP) oleh Setiausaha Agungnya, Chiam See Tong juga memberi petunjuk etnik minoriti sepertimana kaum India di sini adalah antara penentu keputusan dalam pengundian yang akan berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 8 malam esok.

Pencarian mengenai kedudukan Melayu Singapura membawa kepada Pertubuhan Melayu Kebangsaan Singapura (PKMS), atau sebelum ini dikenali sebagai UMNO Singapura yang terpaksa menyesuaikan diri dengan memutuskan hubungan dengan UMNO Malaysia dan menukar nama selepas negara pulau ini berpisah dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Perbualan dengan Timbalan Presiden, Abu Mohamed dan Bendahari Agungnya, Ismail Yaacob memberi gambaran lebih jelas tentang situasi 'Anak Bumiputra Pulau Singapura' ini sebagaimana disebut di dalam Perlembagaan Republik Singapura.

"Melayu yang sudah berjaya biasanya menyokong PAP dan mereka yang kurang berjaya menyebelahi pembangkang.

"Kami di PKMS mahu semua orang Melayu Singapura bersatu dengan memberi sokongan kepada kami kerana kita perlu bersatu dan bukan berpecah-belah," kata Abu ketika dihubungi Utusan Malaysia..

Namun pertemuan dengan Sekretariat Biro Melayu NSP, Ramli Mohamed pula memberi perspektif berbeza dan dia menyifatkan PKMS bukan benar-benar mewakili orang Melayu Singapura kerana suara Melayu atau Islam telah lama sepi, begitu juga kelemahan kaum itu dalam pendidikan dan arus kemodenan.

Beliau berkata, masalah PKMS adalah antara punca keluarnya NSP dan SPP daripada Perikatan SDA, yang kini hanya dianggotai serpihan UMNO itu dan Parti Keadilan Singapura (SJP).

Isu seperti prestasi badan bantu diri pendidikan Melayu/Islam seperti Yayasan Mendaki turut menjadi persoalan kerana Hsien Loong dan Dr. Intan menyatakan telah banyak pencapaian dicapai tetapi calon Parti Pekerja (WP) bagi GRC Aljunied, Pritam Singh meraguinya.

"Pendidikan adalah isu penting menjejaskan masyarakat Melayu. Meskipun Yayasan Mendaki dibentuk sejak 1992, hanya lebih satu peratus pelajar Melayu meraih biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) dari 2002 hingga tahun lalu," katanya ketika ceramah kempen di Yishun, kelmarin.

Kini terpulang di tangan orang Melayu Singapura untuk membuat pilihan ketika membuang undi esok, kerana mereka sendiri lebih jelas parti mana sebenarnya dapat menyuarakan hak mereka.

Apapun, nasib Melayu di Singapura adalah dekat di hati Melayu di Malaysia kerana kebanyakan 'orang kita' di sini mahu mereka menjadi iktibar, perpaduan adalah penting.

"Jika Hamas dan Fatah sudah berdamai, kita di sini harap UMNO dan Pas juga boleh begitu, lihat saja kami di sini dan Melayu di sana jangan sokong parti 'adik' Singapura di sana," luah Abdullah, 40-an, yang tidak mahu nama penuh dan pekerjaannya didedahkan ketika ditemui dalam kempen terakhir WP di Serangoon Stadium, malam tadi. - UTUSAN

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez