Tuesday, October 28, 2008

Institusi Raja Melayu jamin masa depan negara

Masa depan negara dan orang Melayu bergantung kepada keberkesanan peranan institusi raja dalam membendung kesukaran hubungan antara pelbagai kaum di negara ini. Pengerusi Pusat Pengajian Media dan Komunikasi UKM, Prof.Dr.Mohd.Safar Hasim berkata, ia terbukti apabila Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan berhubung ketuanan Melayu baru-baru ini yg berjaya menenangkan ketegangan hubungan itu.

"Apa yg kita lihat ialah selepas kenyataan dikeluarkan oleh raja-raka, kita mendapati masa depan negara ini dan Melayu masih bergantung kepada raja. Kalau institusi raja tidak ada, mungkin akan menyukarkan hubungan kaum dan masalah-masalah berkaitan dengan negara ini," katanya ketika membincangkan karya Thock Ker Pong, Ketuanan Politik Melayu: Pandangan Kaum Cina di Rumah Gapena.

Mohd.Safar berkata, orang Melayu mungkin terjejas ekoran kehilangan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menjamin pengesahan undang-undang iaitu tanpa tandatangan Baginda, rang undang-undang yg diluluskan di Parlimen tetap sah selepas tempoh 30 hari.

Beliau berkata, keadaan itu boleh digunakan oleh parti pemerintah untuk mewujudkan undang-undang yg mengetepikan hak orang Melayu atau menjejaskan kepentingan kaum bumiputera. "Pada 1994, Tun Dr.Mahathir menghapuskan satu daripada kuasa raja iaitu Perkara 81 tentang kekebalan raja. Akibatnya rang undang-undang di Parlimen tidak perlu ditandatangan oleh Yang di-Pertuan Agong."

Oleh itu, beliau melihat apabila Raja-raja Melayu memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan itu, ia memberi kepercayaan kepada orang Melayu bahawa mereka boleh mengharapkan raja sebagai institusi yg masih berguna dan terpakai, mungkin untuk selama-lamanya.

Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr.Mahathir, UUM, Prof.Dr. Abdul Rahman Aziz berkata, melalui karya Ker Pong, beliau mendapati orang Cina amat konsisten dalam tuntutan mereka. Katanya, tujuh tuntutan yg dikemukakan oleh bekas Presiden MCA baru-baru ini adalah sama dengan tuntutan yg dibuat oleh kaum Cina sebelum kemerdekaan lagi.

"Ketika orang Melayu menentang Malayan Union, orang Cina dalam keadaan hendak menyokong dan ketika inilah timbul tuntutan-tuntutan iaitu kerakyatan secara 'jus soli' dan kerakyatan selepas lima tahun, persamaan hak dan tugasan serta pengiktirafan Bahasa Melayu, Cina dan Tamil sebagai bahasa kebangsaan."

Beliau berkata, buku tersebut memberi pendedahan berhubung peranan persatuan orang Cina sejak 1801 sehinggalah zaman selepas merdeka dalam menentukan hala tuju parti-parti politik MCA, DAP dan Gerakan. Selain itu, ia juga menerangkan proses perubahan strategi persatuan -persatuan itu dalam menentang perjuangan UMNO yg memfokuskan kepada kepentingan orang Melayu. "Kalau dulu, mereka guna teknik penentangan atau konfrontasi tetapi mulai 1991-1999, dia rasa konfrontasi tak jalan sebab UMNO semakin ditentang, semakin kuat dan banyak strategi," jelasnya.

oleh Nor Zainah Nordin
Mingguan Malaysia, 26 Okt 08


No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez