Wednesday, February 16, 2011

Salasilah orang Melayu, keterbukaan 1Malaysia

Tidak dapat dinafikan pertembungan dengan India adalah banyak sekali sehinggakan ia meninggalkan kesan budaya dan politik yang besar di rantau ini. Ia dapat dilihat pada pengaruh Hindu dalam struktur sosial dan politik alam Melayu. Sehubungan ini, bawah pengaruh Hindu, ketua dalam masyarakat Melayu feudal dijadikan raja, yang takhtanya diwarisi. Kosa kata bahasa Melayu ikut diserapi kata Sanskrit.

Walau bagaimanapun, pengaruh Hindu ini tidak sekali-kali menguasai struktur asas masyarakat Melayu, sama ada yang bersifat politik mahupun sosial. Pengaruh Hindu ini adalah lapisan budaya semata-mata dan tidak pun mengubah struktur feudal masyarakat Melayu dulu dalam apa jua cara. Ia masih wujud dengan utuh dalam tata tingkat raja dan rakyat.

Islam tiba di rantau ini pada abad 11 dan didapati sudah bertapak dengan mantapnya pada abad ke-13. Pada masa itu, Pasai dan kemudian Aceh di Sumatera menjadi pusat penyebaran Islam yang masyhur. Walaupun Sumatera Utara adalah pusat pengajian Islam di Asia Tenggara pada bahagian awalnya, sesungguhnya Melaka adalah pusat di mana Islam tersebar ke seluruh alam Melayu kemudian.
Sehubungan pengaruh Islam yang kuat di rantau ini melalui Melaka, ia menjadi pelabuhan yang dikunjungi pelbagai jenis pedagang. Walaupun banyak bahasa dituturkan di sana, bahasa Melayu ialah lingua franca yang paling banyak digunakan. Ia digunakan untuk tujuan komunikasi bukan saja antara penduduk tempatan dengan pedagang, tetapi sesama pedagang asing dari segenap pelosok dunia.

Walaupun Melaka ditawan Portugis pada 1511, Kerajaan Melaka tidak terus lenyap. Sehubungan ini, seluruh empayar Melaka diperintah dari Johor sehingga ia dan lain-lain ditakluk Aceh. Dengan ini, seluruh Semenanjung Malaysia berada di bawah kuasa Aceh, kecuali Melaka yang diperintah Portugis dan kemudian Belanda.

Kekuasaan Aceh diakhiri dengan penaklukan Bugis pada abad ke-18. Penaklukan Bugis dari Sulawesi ini berlaku dalam bentuk halus. Mereka tidak sekali-kali menggulingkan pemerintah di Semenanjung. Yang dilakukan ialah mereka menguasai beberapa negeri dengan meresapi struktur politik yang sedia wujud, melalui naungan di sebalik takhta. Antaranya ialah Kedah, Perak, Pahang dan Johor. Hanya di Selangor, mereka berjaya menduduki takhtanya.

Kemunculan dan kejatuhan kekuasaan Aceh dan Bugis ini sebetulnya memperlihat bangun jatuhnya pusat kuasa watan alam Melayu, khususnya di Semenanjung. Sebaliknya, kehadiran Portugis dan Belanda perlu dilihat sebagai semata-mata campur tangan di Melaka saja dan kawasan berdekatan. Di luar Melaka, di Semenanjung dan seluruh Nusantara, tamadun Melayu terus berkembang tanpa sebarang pengaruh Barat yang signifikan.

Melaka adalah Kerajaan Melayu pertama untuk tempoh 1402-1511, sesungguhnya adalah kemuncak tamadun Melayu dalam alam Melayu. Selepas tempoh ini, ia berpindah ke Johor. Dari sinilah pengaruh dan kekuasaan Melaka terus berkembang ke seluruh Semenanjung dan di pantai timur Sumatera.

Menjadi kesalahan besar untuk menganggap era kekuasaan Aceh dan Bugis di Semenanjung sebagai pemerintahan oleh kaum bukan Melayu, seperti didakwa sesetengah pihak. Masyarakat Aceh dan Bugis berasal dari Sumatera dan Sulawesi, adalah wilayah utama dalam alam Melayu. Justeru mereka bukan pendatang ketika berpindah ke Semenanjung. Mereka sebetulnya adalah watan alam Melayu dan peribumi Nusantara!

Sehingga abad ke-18, kewujudan alam Melayu di rantau ini, khususnya secara dominan di Nusantara kecuali Melaka, berterusan tanpa campur tangan Barat. Hanya pada abad ke-19, keadaannya berubah melalui penjajahan Inggeris. Untuk beberapa abad lamanya, Semenanjung dihuni rata-ratanya masyarakat Melayu. Tetapi awal abad ke-20 memperlihat kependudukan alam Melayu ini bertukar secara mendadak dengan kemasukan buruh secara besar-besaran dari China dan India.

Dengan latar sejarah yang sebegini jelas keMelayuannya, bagaimanakah Semenanjung tidak boleh dikaitkan lagi dengan nama Tanah Melayu pada masa kini khususnya dalam Gagasan 1Malaysia?

Gagasan 1Malaysia yang walaupun menganjurkan keadilan sosial yang memastikan keterlibatan semua kaum, tidak boleh sekali-kali ditafsirkan dari segi kenegaraan, khususnya mengenai salasilah negara ini sebagai betul-betul satu fenomena moden yang langsung tidak mahu mengambil kira sejarah lampau.

Penolakan unsur kesinambungan antara bentuk sebelum moden dengan yang moden oleh sesetengah pihak, yang menganggap nama Tanah Melayu itu tidak sesuai lagi digunakan pada masa ini, khususnya dalam pembentukan bangsa Malaysia dan negara moden Malaysia itu sendiri, adalah bukan saja sikap buruk. Tetapi yang lebih mudarat lagi ialah kesan buruk yang boleh timbul daripada sikap ini yang menafikan sejarah lampau negara ini sebagai jajahan Melayu.

Sesungguhnya pembinaan mana-mana negara, walaupun pada zaman moden ini perlu dikaitkan secara eksplisit dengan bentuk sebelum moden dengan mengambil kira sejarah lampau, khususnya yang berkenaan dengan beberapa identifikasi politik yang penting. Sehubungan ini, Semenanjung adalah Tanah Melayu pada masa dulu, kini dan selama-lamanya. Ini adalah kenyataan nasionalisme Malaysia dan bukan etnosentrisme Melayu!

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Oleh Teo Kok Seong

3 comments:

Al Mahadaya said...

Bagaimana mungkin Islam dpt menolong di dlm perjuangan bangsa Malayu sedangkan ianyalah yg meruntuhkannya. Bahasa Malayu adalah bahasa yg meminjam perkataan2 arabaya iaitu bahasa al quran sebelum ianya di letakkan baris dan tanda untuk mencipta Islam. Bahasa Sansksrit sebenarnya yg meminjam dari Bahasa Malayu dan inilah kebodohan org2 Malayu sendiri yg mempercayai penipuan musuh2 tuhan. Jika di baca al quran itu huruf demi huruf byk perkataannya sama dari segi ejaannya di dlm JAWI iaitu bahasa Malayu. Contohnya: Hakamata-Hikmat, Naa'mata-Nikmat, Jawaba-Jawab, Aqorara-Ikrar, Waa'da-Waad, Abalayasa-Iblis, Kataba-Kitab dan byk lagi.

Anonymous said...

Tuhan menjadikan alam dan segala isinya dengan penuh hikmah kebijaksanaan..penuh cinta dan adil.Begitu juga kita akan mendapati kebenaran tentang hikmah kejadian ini jika dipandang dari satu sisi kecil tentang negara dan kenegaraan akan sesuatu kawasan.

Setiap bangsa telah diberikan tempat masing-masing..bangsa Arab dengan tanah Arab,bangsa India dengan tanah India,bangsa Cina dengan tanah China dan begitu juga bangsa Melayu dengan tanah Melayu.

Jika kita akur pada ketentuan ASAL ini maka tidak akan timbul sebarang sifat seperti yang dikatakan orang Melayu dahulu, "diberi betis hendakkan peha".

Tiada bangsa yang berhak untuk mengambil hak bangsa lain.Hiduplah seadanya di tanah manapun dengan sifat kasih sayang yang mendalam kerana sifat itulah yang membuat seluruh alam ini dicipta.

Sebagaimana Tuhan memberi kita akan tanah masing-masing untuk diduduki begitu jugalah kita akan dikembalikan kepada tanah.Berbuat baiklah di atas tanah yang kita pijak dan hak yang telah Tuhan berikan kepada setiap bangsa janganlah dipertikaikan lagi.

Hanya mereka yang tamak haloba tidak akan mengerti hakikat kehidupan kurniaan Tuhan kerana hatinya mati dari melihat dan merasa anugerah ini.

Anonymous said...

jadi x boleh la tanah melayu dinamakan sbg tanah melayu..tapi lebih sesuai diberi gelaran tanah org asli la..sbb mereka dtg kat sini dulu..org melayu kebanyakannya berasal dr tanah seberang..2000 tahun lps mana ada org melayu..cuma ada org asli ja..kalo kita nak ikut konteks sejarah sgt la..bukan begitu saudara?

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez