Saturday, December 4, 2010

Dosa mengubah tamadun Melayu

Ini termasuk ciri-ciri sebuah negara bangsa Malaysia dari segi politik, perundangan, perlembagaan, struktur kenegaraan dan pemerintahan. Ciri-ciri ini bukan saja perlu dipertahankan, malah terus dilindungi dalam apa juga keadaan. Peperangan yang berlaku sejak dulu kala sehingga hari mempunyai kaitan yang rapat dengan ciri-ciri ini selain faktor peluasan wilayah, perebutan sumber kekayaan dan sebagainya.

Sedangkan binatang liar di hutan pun cuba diselamatkan bagi mengelakkannya daripada pupus atau bangunan lama terus dipulihara sebagai warisan bangsa, inikan pula sebuah tamadun - tamadun Melayu.
Tidak ada asas yang boleh diterima berhubung idea pihak tertentu untuk menghapuskan apa juga ciri-ciri yang terbentuk dalam tamadun Melayu yang dibina berdikit-dikit sejak 1,300 tahun lalu.

Sejarah dan pelbagai catatan membuktikan seluruh wilayah kepulauan Asia mengiktiraf tamadun Melayu sejak Empayar Melayu Srivijaya di Sumatera pada abad ke-7 lagi. Manusia dan rumpun Melayu membentuk peradabannya yang mampu menguasai sebuah wilayah tanah daratan dan perairan di Asia Tenggara dikenali sebagai gugusan kepulauan Melayu atau the Malay Archipelago. Sejarah mencatatkan susur galur dan asas tamadun Melayu yang bermula dari Srivijaya, di Sumatera pada abad ke-7. Pada abad ke-11 dan 12, ia bertukar nama kepada Melayu diikuti Perlak (bermula sekitar 840), Samudera Pasai (sekitar 976, kepada kerajaan dan penempatan di Jawa seperti Taruma (abad ke-5), Sailendra (abad ke-8), Mataram (abad ke-9), Singhasari (abad ke-13), Majapahit (akhir abad ke-13), Demak (sekitar abad ke-15), Bantam, Pejajaran, Surabaya, seterusnya kerajaan Terengganu (sekitar 1303), Melaka (bermula sekitar 1400), Sulu (sekitar 1405), Brunei (sekitar 1406), Banjarmasin, Makasar (1604), Mindanao (sekitar 1515), Ternate (1486), Tidore (sekitar 1475), Patani (sekitar 1500), Aceh (sekitar 1500) dan Johor Riau (sekitar 1700).

Pelajaran Sejarah mengajar kita bahawa dunia Melayu terletak di kawasan yang strategik dan menjadi tarikan bangsa lain termasuk penjajahan kolonial Barat. Tom Pires, penggembara Portugis mencatatkan Melaka adalah mercu kejayaan dan kegemilangan rumpun Melayu dalam membina sebuah peradaban (Suma Oriental of Tom Pires, Armando Cortesao (ed), 1944:268).

Adalah sukar diterima jika ada sebarang pendapat atau cita-cita untuk memusnah tamadun yang sudah diiktiraf sejarah dunia, apatah lagi datangnya daripada orang Melayu sendiri. Cadangan menghapuskan sesuatu yang sudah berakar umbi dalam diri dan pemikiran sesuatu bangsa amat berbahaya kerana ia akan menghilangkan keagungan Melayu dan apa juga yang dikaitkan dengan Melayu Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu, ketuanan Melayu, bahasa Melayu, kebudayaan Melayu, warisan Melayu, gagasan kepulauan Melayu dan segala-gala yang berkaitan Melayu.
Agenda untuk menghapuskan peradaban Melayu adalah kerja gila. Adalah tidak diterima akal untuk memusnahkan sebuah tamadun yang dibina melalui satu proses ribuan tahun dan mengorbankan banyak nyawa dan harta benda nyawa akibat peperangan demi peperangan untuk mempertahan kedaulatan Melayu.

Menyusuri asal usulnya, tamadun Melayu di bumi Melayu ini bermula dengan sebuah penempatan masyarakat manusia yang kecil dan berkembang dari sebuah kawasan ke kawasan, dari sebuah kampung ke sebuah kampung, seterusnya membesar ke mukim, daerah dan akhirnya penempatan di bandar-bandar dan akhirnya membentuk sebuah negara.

Penempatan manusia ini terus berkembang dengan pelbagai usaha penambahbaikan dari seorang ketua pelbagai peringkat daripada ketua kampung, penghulu, imam, pegawai daerah dan seterusnya kepada pelbagai jawatan dalam pemerintah. Ini dilakukan untuk meningkatkan kehidupan masyarakat dari satu generasi ke generasi yang lain sehingga ke hari ini.

Sebuah tamadun tidak akan wujud tanpa sistem organisasi untuk mengurus kehidupan manusia. Maka, wujudkan pelbagai institusi sosial, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Dalam konteks kemajuan Melayu hari ini, UMNO adalah sebuah institusi yang memperjuangkan orang Melayu dan tamadun Melayu. Selain itu, institusi raja-raja Melayu juga adalah institusi yang amat penting dalam konteks mempertahankan keseluruhan tamadun Melayu.

Dalam bidang komunikasi, masyarakat berkenaan menggunakan satu bahasa untuk mewujudkan satu jatidiri bangsa berkenaan - bahasa Melayu. Sebuah tamadun tidak akan dapat dibentuk tanpa undang-undang. Maka, di negara ini wujud sistem perundangan untuk melindungi masyarakatnya daripada sebarang penganiayaan. Juga penting ialah sistem nilai, moral dan estetika.

Sesebuah tamadun tidak akan lengkap tanpa memberikan masyarakat dengan segala keperluan yang mereka perlukan. Lihat lah di sekeliling mengenai segala kelengkapan yang disediakan, malah sesetengahnya lebih hebat daripada kemajuan tamadun bangsa lain di dunia. Apa juga niat untuk mengubah suasana negara ini perlu mengambil kira bahawa negara ini adalah sebuah entiti politik dan budaya hasil kesinambungan daripada sejarah penubuhan pusat-pusat tamadun Melayu sejak zaman empayar Srivijaya hingga ke Melaka, Aceh, Johor Riau dan Brunei.

www.bharian.com.my

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez