Thursday, December 9, 2010

Pertahan kedaulatan Melayu

“Ketuanan Melayu atau lebih dikenali kedaulatan Melayu mencakupi kedudukan raja-raja Melayu dan rakyatnya yang kekal sehingga ke hari ini dan bukannya soal antara ‘tuan’ dan ‘hamba’,” titah baginda semasa merasmikan Multaqa Ulama Darul Ta’zim di sini hari ini.

Sultan Ibrahim merupakan sultan ketiga di negara ini selepas Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menyelar orang Melayu yang sanggup menggadaikan konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu atas dasar kepentingan politik sendiri.

Sultan Ibrahim bertitah, ketuanan Melayu merujuk kepada kedaulatan di negeri Melayu dengan kedudukan raja-raja Melayu sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu. Menurut baginda, apabila British memberi kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu raja-raja Melayu dan rakyatnya.

“Ini kerana, awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu raja-raja Melayu dan rakyatnya.

“Sejak dulu lagi, ketika negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, raja-raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagai tetamu dan memberi mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Tanah Melayu.

“Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum lain terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan,” titah baginda. Justeru, Sultan Ibrahim menyeru para ulama bangkit dan memainkan peranan bagi mempertahankan kedaulatan Melayu yang mula tercemar.

Baginda bertitah, ia tugas mencabar bagi para ulama dan umara (para pemimpin) untuk menjelaskan dan mempertahankan kedaulatan Melayu seperti terkandung dalam Perlembagaan yang selama ini menjadi ‘tuan tanah’ negara ini.

Multaqa sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda itu dihadiri 500 peserta dan dua kertas kerja dibentangkan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot dan Mufti negeri, Datuk Tahrir Shamsuddin.

Utusan Malaysia adalah akhbar rasmi multaqa berkenaan. Sultan Ibrahim bertitah, peranan ulama pada zaman silam amat besar dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara serta sering berganding bahu dengan para pemimpin negara bagi menuntut kemerdekaan sehingga ia dapat dicapai dan syiar Islam dapat ditegakkan hingga ke hari ini.

“Ini jelas menunjukkan peranan ulama bukan sahaja untuk menegakkan hukum syarak, malah peranan lebih besar harus digalas iaitu menjaga dan mengekalkan ketuanan Melayu yang dimiliki selama ini,” titah baginda.

Sumber: utusan.com.my

Saturday, December 4, 2010

Dosa mengubah tamadun Melayu

Ini termasuk ciri-ciri sebuah negara bangsa Malaysia dari segi politik, perundangan, perlembagaan, struktur kenegaraan dan pemerintahan. Ciri-ciri ini bukan saja perlu dipertahankan, malah terus dilindungi dalam apa juga keadaan. Peperangan yang berlaku sejak dulu kala sehingga hari mempunyai kaitan yang rapat dengan ciri-ciri ini selain faktor peluasan wilayah, perebutan sumber kekayaan dan sebagainya.

Sedangkan binatang liar di hutan pun cuba diselamatkan bagi mengelakkannya daripada pupus atau bangunan lama terus dipulihara sebagai warisan bangsa, inikan pula sebuah tamadun - tamadun Melayu.
Tidak ada asas yang boleh diterima berhubung idea pihak tertentu untuk menghapuskan apa juga ciri-ciri yang terbentuk dalam tamadun Melayu yang dibina berdikit-dikit sejak 1,300 tahun lalu.

Sejarah dan pelbagai catatan membuktikan seluruh wilayah kepulauan Asia mengiktiraf tamadun Melayu sejak Empayar Melayu Srivijaya di Sumatera pada abad ke-7 lagi. Manusia dan rumpun Melayu membentuk peradabannya yang mampu menguasai sebuah wilayah tanah daratan dan perairan di Asia Tenggara dikenali sebagai gugusan kepulauan Melayu atau the Malay Archipelago. Sejarah mencatatkan susur galur dan asas tamadun Melayu yang bermula dari Srivijaya, di Sumatera pada abad ke-7. Pada abad ke-11 dan 12, ia bertukar nama kepada Melayu diikuti Perlak (bermula sekitar 840), Samudera Pasai (sekitar 976, kepada kerajaan dan penempatan di Jawa seperti Taruma (abad ke-5), Sailendra (abad ke-8), Mataram (abad ke-9), Singhasari (abad ke-13), Majapahit (akhir abad ke-13), Demak (sekitar abad ke-15), Bantam, Pejajaran, Surabaya, seterusnya kerajaan Terengganu (sekitar 1303), Melaka (bermula sekitar 1400), Sulu (sekitar 1405), Brunei (sekitar 1406), Banjarmasin, Makasar (1604), Mindanao (sekitar 1515), Ternate (1486), Tidore (sekitar 1475), Patani (sekitar 1500), Aceh (sekitar 1500) dan Johor Riau (sekitar 1700).

Pelajaran Sejarah mengajar kita bahawa dunia Melayu terletak di kawasan yang strategik dan menjadi tarikan bangsa lain termasuk penjajahan kolonial Barat. Tom Pires, penggembara Portugis mencatatkan Melaka adalah mercu kejayaan dan kegemilangan rumpun Melayu dalam membina sebuah peradaban (Suma Oriental of Tom Pires, Armando Cortesao (ed), 1944:268).

Adalah sukar diterima jika ada sebarang pendapat atau cita-cita untuk memusnah tamadun yang sudah diiktiraf sejarah dunia, apatah lagi datangnya daripada orang Melayu sendiri. Cadangan menghapuskan sesuatu yang sudah berakar umbi dalam diri dan pemikiran sesuatu bangsa amat berbahaya kerana ia akan menghilangkan keagungan Melayu dan apa juga yang dikaitkan dengan Melayu Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu, ketuanan Melayu, bahasa Melayu, kebudayaan Melayu, warisan Melayu, gagasan kepulauan Melayu dan segala-gala yang berkaitan Melayu.
Agenda untuk menghapuskan peradaban Melayu adalah kerja gila. Adalah tidak diterima akal untuk memusnahkan sebuah tamadun yang dibina melalui satu proses ribuan tahun dan mengorbankan banyak nyawa dan harta benda nyawa akibat peperangan demi peperangan untuk mempertahan kedaulatan Melayu.

Menyusuri asal usulnya, tamadun Melayu di bumi Melayu ini bermula dengan sebuah penempatan masyarakat manusia yang kecil dan berkembang dari sebuah kawasan ke kawasan, dari sebuah kampung ke sebuah kampung, seterusnya membesar ke mukim, daerah dan akhirnya penempatan di bandar-bandar dan akhirnya membentuk sebuah negara.

Penempatan manusia ini terus berkembang dengan pelbagai usaha penambahbaikan dari seorang ketua pelbagai peringkat daripada ketua kampung, penghulu, imam, pegawai daerah dan seterusnya kepada pelbagai jawatan dalam pemerintah. Ini dilakukan untuk meningkatkan kehidupan masyarakat dari satu generasi ke generasi yang lain sehingga ke hari ini.

Sebuah tamadun tidak akan wujud tanpa sistem organisasi untuk mengurus kehidupan manusia. Maka, wujudkan pelbagai institusi sosial, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Dalam konteks kemajuan Melayu hari ini, UMNO adalah sebuah institusi yang memperjuangkan orang Melayu dan tamadun Melayu. Selain itu, institusi raja-raja Melayu juga adalah institusi yang amat penting dalam konteks mempertahankan keseluruhan tamadun Melayu.

Dalam bidang komunikasi, masyarakat berkenaan menggunakan satu bahasa untuk mewujudkan satu jatidiri bangsa berkenaan - bahasa Melayu. Sebuah tamadun tidak akan dapat dibentuk tanpa undang-undang. Maka, di negara ini wujud sistem perundangan untuk melindungi masyarakatnya daripada sebarang penganiayaan. Juga penting ialah sistem nilai, moral dan estetika.

Sesebuah tamadun tidak akan lengkap tanpa memberikan masyarakat dengan segala keperluan yang mereka perlukan. Lihat lah di sekeliling mengenai segala kelengkapan yang disediakan, malah sesetengahnya lebih hebat daripada kemajuan tamadun bangsa lain di dunia. Apa juga niat untuk mengubah suasana negara ini perlu mengambil kira bahawa negara ini adalah sebuah entiti politik dan budaya hasil kesinambungan daripada sejarah penubuhan pusat-pusat tamadun Melayu sejak zaman empayar Srivijaya hingga ke Melaka, Aceh, Johor Riau dan Brunei.

www.bharian.com.my

Saturday, November 20, 2010

Asal-usul jin saka

"Keunikan drama Saka Jentayu juga memaparkan seni tradisi Minangkabau seperti teater Randai, Saluang Jo Dendang dan Pencak Silat," katanya. Abdul Azizi berkata, cabaran paling besar mengarahkan drama itu apabila terpaksa bekerja dengan pelakon yang tidak pernah buat cerita seram. "Pemilihan barisan pelakon Saka Jentayu diputuskan pihak TV3. Ia bergantung kepada pelakon yang ada kelapangan untuk berlakon dalam cerita ini kerana pada peringkat awal memang ramai pelakon disenaraikan. "Nampaknya, ia memang rezeki Zarina Zainordin (Jentayu) dan Ungku Ismail Aziz (Faris) untuk beraksi sebagai watak utama dalam cerita ini. Apapun, semua pelakon termasuk pembantu memberikan komitmen seperti dikehendaki," katanya. Berkongsi mengenai proses penggambaran pula, kata Abdul Azizi, ia membabitkan tempoh tujuh hari (sebanyak 30 peratus) di Indonesia. "Penggambaran di kawasan pedalaman di daerah Batu Sangkar, Sumatera Barat, Indonesia juga mewujudkan suasana seram dalam drama ini. Ia membabitkan babak imbas kembali zaman muda Tok Jalit ketika menuntut ilmu hitam di sana.

"Pihak kami jayakan penggambaran di Indonesia kerana suasana kampung di sana jauh lebih cantik. Penggambaran juga dibuat di sekitar kawasan kampung di negara ini," katanya. Abdul Azizi berkata, apa yang menarik, pihaknya tampilkan pergerakan hantu seperti dalam filem seram Jepun, Ju Onn sedikit sebagai kelainan. "Buat CGI untuk babak kena rasuk juga mudah untuk mendapatkan 'mood'nya. Apabila kena rasuk, wajah pelakon juga tidak nampak pucat dalam cerita ini," katanya. Bagaimanapun, kata Abdul Azizi lagi, kekuatan cerita itu bergantung kepada barisan pelakonnya sendiri. "Saya pernah tiga kali bekerjasama dengan Zarina dan dia pelakon yang hebat. Dia faham ketika membaca dialognya. Begitu juga Ungku Ismail, walaupun kami baru kali pertama bekerjasama dengannya dalam drama," katanya.


Drama terbitan Wayang Tinggi Production ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Mubarak Majid, Liza Abdullah, Wan Hanafi Su, Hairi Safwan, Khairil Anwar, Fathil Dani dan Kuswadinata. Abdul Azizi berkata demikian pada sesi ramah mesra bersama barisan pelakon drama bersiri seram itu di Sri Pentas, baru-baru ini. Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 dan TV9, Nurul Aini Abu Bakar berkata, populariti slot Seram terbukti dengan rating purata mencecah 2 juta penonton pada setiap minggu. "Tidak dapat dinafikan cita rasa penonton yang menyukai drama berunsur seram terus memberikan ilham kepada pihak produksi dan TV3 untuk mempelbagaikan persembahan jalan cerita.


"Drama terbaru di slot Seram itu akan mengupas asal usul jin saka yang pernah diamalkan nenek moyang masyarakat Melayu di Sumatera, Indonesia pasti memberikan pengajaran kepada penonton supaya menjauhi kepercayaan tahyul dan mistik," katanya. Drama ini menceritakan perjalanan cinta Jentayu yang sering didatangi pelbagai halangan dan dugaan. Arwah suami Zarina meninggal dunia ketika mereka berbulan madu. Selepas beberapa tahun, Jentayu bakal bertunang dengan Faris. Malangnya, majlis pertunangan terpaksa dibatalkan kerana ibu Faris, Puan Sarimah diserang penyakit ganjil ketika mahu menyarungkan cincin ke jari Jentayu. Selepas kematian tragis Puan Sarimah, pelbagai cemuhan dilemparkan kepada ibu bapa Jentayu, Pak Suman (Mubarak Majid) dan Induk Awa (Liza Abdullah) sehingga memaksa mereka berpindah balik ke kampung Induk Awa. Jentayu dan Faris terpaksa berpisah. Faris memilih untuk mendalami ilmu agama dari Ustaz Hanafi (Fathil Dani). Kepulangan keluarga Jentayu ke kampung tidak disenangi Pak Sadun (Khairil Anwar). Jentayu pula sering diganggu jin saka itu. Pak Suman juga meninggal dunia akibat perbuatan langgar lari. Hidup Jentayu dan Induk Awa bertambah sempit. Mereka terpaksa berdepan dengan fitnah dan cemuhan disebarkan Pak Sadun. Pelbagai cabaran yang mengganggu kehidupan Jentayu dan dia turut dikecewakan oleh Zamri.


(c) MyMetro 2010

Wednesday, November 17, 2010

Mimpi penyatuan bangsa Melayu melalui Nusantara

Saya berdoa yang universiti ini tidak akan hilang cita-cita kebudayaannya yang asasi, terutama di dalam konteks lautan Melayu di mana kita hidup. Saya selalu merasa yang dunia Melayu yang maha luas ini telah memberikan banyak iktibar.

Dunia Melayu selalu terbuka luas, laksana samudera lepas yang mengelilingi dan selalu menerima serta menyedut akan pelbagai unsur yang menyentuh pantainya, tetapi di samping itu tetap mempertahan keperibadiannya yang unik. Dunia Melayu ini penuh keragaman daripada segi keagamaan, kebudayaan, kesenian serta adat resam, tetapi di bawah keragaman itu selalu terasa ada kesatuan yang mengikatnya."

Beliau menyatakan hal tersebut dalam syarahan perdana Profesor UKM pada 30 Januari 1990. Pada 20 tahun dahulu - yang penubuhannya "merupakan usaha gigih untuk menukarkan kebudayaan kolonial kepada kebudayaan nasional."

Wajar dicatat dalam konteks peralihan masa ialah ucapannya kepada ahli-ahli Royal Asiatic Society Malaysia Branch di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 Februari 1966 manakala menghuraikan perkembangan bahasa Melayu. Lantas disebut betapa bahasa Melayu selepas tamat perang menjadi bahasa kebangsaan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.

Berucap dalam bahasa Inggeris beliau menyebut betapa pengajian Melayu telah berkembang di negara-negara lain, terutama di Australia, Amerika, England dan Russia. Sebelum itu dari kedatangan penjajah Eropah mulai abad ke-16 tidak meminati langsung untuk membuat kajian mengenai budaya dan bahasa rakyat tempatan. Ini berlaku selama 300 tahun.

Perubahan berlaku kemudiannya seperti di Singapura di bawah pemerintahan Stamford Raffles. Di Indonesia pegawai penjajah Belanda Snouck Hurgronge menganalisis bahasa warga Aceh, manakala di Tanah Melayu antara yang berperanan ialah Richard Windstedt.

Dalam pada itu para penyelidik Eropah tertarik minat mereka kepada pantun Melayu mulai tahun 1868. Ia menjadi bahan syarahan di sebuah universiti Belanda.

Kesedaran

Profesor Ismail Hussein menyentuh pendapat yang menganggap Hang Jebat sebagai wira, bukan Hang Tauh. Menurut beliau tiada apa pun bukti bahawa Hang Jebat wira masyarakat Melayu zaman silam.

Gambaran lebih jelas disebut dalam syarahan perdana di UKM (1990). Antara lain mengenai "kesedaran Melayu dalam erti luas serta penggunaan istilah "Melayu" dalam ertinya yang umum, cukup berkembang di Filipina, masyarakat Nusantara paling terbaik kepada pengaruh Barat."

Wira Filipina yang terbilang Jose Rizal yang mendapat jolokan The pride of the Malay race atau The Great Malayan menjadi model kemelayuan yang klasik.

Muncul juga ialah "jurubicara" dunia Melayu yang utama di Filipina pada pertengahan abad ke-20, bernama Wanceslao Vinzons, seorang pemuja Rizal. Beliau menyampaikan pidato berjudul Malaysia Irredenta yang "memaparkan mimpinya akan penyatuan bangsa-bangsa Melayu - Polinisea.

Beliau kemudian mengarang buku berjudul Malaysia Irrendenta yang mengandungi the history and civilisation of Southeast Asian Conturies belonging to the Malay race.

Beliau adalah nasionalis yang menentang pendudukan tentera Jepun di Filipina dan akhirnya hilang pada 1942, khabarnya ditembak mati oleh tentera Jepun.

Di Indonesia pula tokoh pelopor kemerdekaan Indonesia, Muhammad Yamin dari Sumatera Barat memperlihatkan keyakinan mendalam terhadap "peranan bahasa Melayu dan impiannya yang bahasa itu harus dijadikan bahasa kesatuan yang lebih mantap lagi."

Menurutnya "Selat Melaka ialah corong ke kepulauan kita, Malaya ialah batang leher kepulauan Indonesia daerah yang delapan. Menceraikan Malaya daripada Indonesia bererti dengan sengaja dari mulanya melemahkan negeri Rakyat Indonesia dalam perhubungan internasional."

Tetapi kemerdekaan yang diumumkan pada 17 Ogos 1945 wilayah Indonesia merdeka dibatasi pada kawasan Hindia Belanda "Dan selepas Muhammad Yamin gagasan Melayu Raya di Indonesia dari segi politiknya memang telah mati."

Menurut Profesor Ismail Hussein pergerakan Melayu Raya yang lebih berkesan di Tanah Melayu timbul di daerah pedalaman, bukan di pesisiran atau di kota pelabuhan. Ini terjadi di Maktab Sultan Idris di Tanjung Malim. Anak-anak muda banyak berasal daripada masyarakat petani.

Bagi beliau "akhir-akhirnya, tamadun Melayu adalah yang akan menjadi unsur penentu dan yang akan memberikan keperibadian yang lebih kepada kebudayaan kebangsaan Malaysia yang akan datang."

Tan Sri Profesor Emeritus Dato' Pendita (Dr.) Haji Ismail Hussein telah berkhidmat dengan Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau dipilih menjadi Ketua Satu GAPENA sejak ditubuhkan pada 23 Oktober 1970 dan menyandang jawatan hingga kini.

www.utusan.com.my

Wednesday, November 10, 2010

Hanya bahasa Melayu bahasa rasmi - Nik Safiah

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak pernah melarang penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat malah menggalakkan mereka menguasai bahasa antarabangsa itu.

"Kita juga telah menjadikan bahasa Inggeris selaku bahasa pengantar kedua di sekolah-sekolah selepas bahasa Melayu. Adakah ini masih belum mencukupi sehingga bahasa itu (Inggeris) juga perlu dijadikan bahasa rasmi?," soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Safiah berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan wakil parti DAP dari Datuk Keramat, Pulau Pinang, Jagdip Singh Deo yang mahukan bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua di negeri itu. Menurut Jagdip, ia selaras dengan hasrat menjadikan negeri itu sebagai bandar antarabangsa pada masa depan.

Cadangan wakil DAP itu disuarakan ketika Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam. Dalam pada itu, Nik Safiah menambah, penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa kedua dilihat seakan-akan memberi persaingan terhadap bahasa kebangsaan itu.

"Justeru, saya sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa rasmi kedua walaupun di Pulau Pinang," tegasnya lagi.

sumber: www.utusan.com.my

Saturday, October 30, 2010

Kedudukan Malaysia berdasar data lengkap

Pencapaian mampu lebih baik jika tiada usaha burukkan negara

Malaysia sebenarnya boleh berada pada kedudukan lebih baik jika segelintir rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan, tidak mencemarkan nama negara di mata dunia. Golongan ini sering memburuk-burukkan kerajaan kerana kepentingan politik individu tertentu, Mereka mencemuh institusi tertentu seperti badan kehakiman, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya hinggakan mencemari institusi raja.

mereka mempertikaikan sistem yang diterima oleh majoriti rakyat. Sudah tentu penilaian orang Barat berbeza dengan norma masyarakat Malaysia. Keju dan belancan tidak akan sama. Malangnya, dakwaan negatif terhadap kerajaan dipercayai dan diterima oleh institusi kajian antarabangsa sebagai salah satu cara mereka mengumpul data selari dengan piawaian Barat.

Pada kita, adalah lebih baik cara pengumpulan data yang membabitkan persepsi ini diuji terlebih dulu. Setidak-tidaknya institusi kajian berkenaan perlu mempunyai maklumat atau latar belakang yang jelas mengenai sebab-musabab sesuatu peristiwa itu berlaku. Menjadikan maklumat spekulasi sebagai data kajian akan menyebabkan kajian berat sebelah dan tidak tepat.

Kajian Kemakmuran juga pastinya berasaskan kepada angka dan bukan angka. Data berangka lebih mudah diukur. Ia dilakukan dengan membuat perbandingan angka di kalangan negara yang dikaji. Sebaliknya, jika kajian hanya berasaskan kepada peristiwa seperti demonstrasi akibat perasaan tidak berpuas hati rakyat, ia memberi gambar yang subjektif.

Bagi sesetengah negara atau sistem tertentu, tindakan membenarkan demonstrasi jalanan adalah lambang kebebasan tetapi di sesetengah negara ia adalah masalah keselamatan. Perkara ini boleh diperdebatkan. Tetapi disebabkan kajian seperti ini dilakukan berasaskan kepada metodologi akademik, keputusannya masih boleh diterima walaupun hasil penemuannya boleh dipertikaikan.

Walaupun yakin kedudukan Malaysia sepatutnya berada pada kedudukan lebih baik, banyak faktor dalaman yang menggagalkan keadaan itu daripada berlaku, khasnya perkara yang dipengaruhi persepsi. Sebagai contoh, Malaysia adalah sebuah negara yang terlalu banyak politiking.

Dalam tempoh seminggu ini saja ada dua pilihan raya kecil – kawasan Parlimen Batu Sapi, Sandakan, Sabah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Gua Musang, Kelantan, yang diadakan menyebabkan kegiatan politik yang meningkat. Ini tidak termasuk isu politik yang berpanjangan dimainkan pembangkang.

Dalam suasana seperti hari ini, institut kajian tidak melihat dua pilihan raya kecil itu sebagai kebebasan rakyat membuat pilihan dalam sistem demokrasi tetapi mereka lebih menumpukan kepada kegiatan politik. Contohnya, jika mereka pergi mendengar kempen ceramah parti pembangkang, pastinya mereka akan mempunyai pandangan yang negatif terhadap kerajaan sekali gus mendapat gambaran yang buruk mengenai kerajaan dan parti yang memerintah. Jika kajian dibuat dalam tempoh seperti ini, ia tidak akan memberi hasil penemuan yang adil kepada Malaysia.

Malaysia tidak mempunyai masalah berhubung kajian seperti ini asalkan matlamatnya jelas dan objektif.

Malaysia sedar prestasi ekonomi adalah bidang yang sangat penting khasnya untuk mengukur kemakmuran sesebuah negara terutama mengenai dasar makroekonomi, kepuasan ekonomi dan jangkaan masa depan, asas pertumbuhan serta kecekapan sektor ekonomi.

sumber: www.bharian.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez