Saturday, July 4, 2009

Datuk Abdullah, Undang Luak Jelebu

Datuk Abdullah, Undang Luak Jelebu Yang Unggul

MARILAH KITA KENALI PEJUANG BANGSA INI
MENGENANGKAN JASA BELIAU MEMARTABATKAN MELAYU



Datuk Abdullah bin Panglima Muda

Datuk Abdullah bin Panglima Muda hidup sezaman dengan dua Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, iaitu Tuanku Muhammad Shah ( 1888-1933 ) dan Tuanku Abd.Rahman (1933-1957). Sezaman dengan Datuk Undang Luak Johol, Datuk Kamat, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Kelana Maa'mur dan Undang Luak Rembau, Datuk Abdullah bin Dahan. Zaman pemerintahannya selama 43 tahun ( 1902-1945), sebagai Undang Luak Jelebu yang ke-12 dengan memakai gelaran Datuk Mendalika Menteri Akhir Zaman penuh dengan kenangan manis serta cerita-cerita pelik dan ganjil, hebat dan menakjubkan sehingga menjadi buah mulut yang diperkatakan sepanjang masa. Walaupun Datuk Abdullah Panglima Muda telah lama bersemadi, ( beliau meninggal pada tahun 1945, kerana sakit tua di Kampung Peradong, Kuala Klawang) dalam daerah Jelebu tidak dapat dilupakan begitu sahaja.

Antara kisah yang paling menarik ialah dalam tahun 1920-an, pada masa itu Datuk Abdullah sudahpun menjadi Undang dan tinggal di rumah sendiri dekat Kampung Peradong, tidak jauh daripada Kuala Klawang. Sewaktu malam sewaktu dalam perjalanan pulang dari Kelab Kuala Klawang, tatkala sedang melintasi sebuah jalan selekoh di tepi lereng Bukit Serian dekat dengan Bandar Tinggi ( kawasan ini terletak antara Kuala Klawang dan Kampung Peradong) tiba-tiba kereta kuda yang sedang dipacu oleh Datuk Abdullah berhenti dan tidak mahu jalan. Puas diusahakan, kuda-kuda itu tidak mahu bergerak dan sesuatu kejadian yang seram dan menakutkan telah menimpa Datuk Abdullah. Satu lembaga besar yang tidak dapat digambarkan dalam malam yang gelap gelita telah muncul dan menghalang perjalanan Datuk Abdullah, lalu terjadilah pergelutan yang hebat yang berakhir dengan Datuk Abdullah dapat mencabut bulu betis lembaga hitam itu ( menurut ceritanya, bulu itu bentuknya seakan-akan lidi daun enau). Semenjak kejadian itu, Datuk Abdullah dipercayai mendapat sesuatu kekuatan yang luarbiasa sehinggakan pada masa-masa tertentu gajah besar, harimau dan binatang-binatang liar yang lain sering kelihatan berkeliran di kediamannya dekat Kampung Peradong.Bukan setakat itu sahaja, Datuk Abdullah bin Panglima Hitam juga dikatakan telah mencabut misai harimau belang di hutan Kenaboi, Jelebu. Ini bukannya cerita dongeng, tetapi kisah yang benar-benar berlaku. Orang-orang tua di Keneboi, ramai yang tahu akan kisah-kisah ini dan ada diantaranya mereka mendakwa pernah melihat sendiri misai harimau belang itu. Kejadian ini berlaku dalam tahun 1920-an, waktu beliau baru sahaja dilantik menjadi Undang Jelebu.Datuk Abdullah juga telah menerima Pingat C.B.E yang dianugerahkan oleh King George V pada tahun 1935. Setelah kematian Datuk Abdullah, pingat itu telah diwarisi oleh anak lelaki sulungnya, Mohd.Sharif. Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abd.Rahman telah menjejakkan kaki kediaman rasmi Datuk Abdullah, Undang Luak Jelebu untuk menyaksikan Datuk Abdullah bin Panglima Muda menerima Pingat C.B.E yang telah disampaikan oleh Sir Shenton Thomas, Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu bersekutu pada tahun 1935.Datuk Abdullah bin Panglima Muda juga ditakuti oleh sesiapa sahaja kerana kegerunan yang ada pada dirinya. Tuanku Muhammad Shah juga pernah ditegur oleh Datuk Abdullah. Datuk Abdullah bin Panglima Muda telah menegur Tuanku Muhammad kerana membiarkan orang ramai menunggu terlalu lama di bawah panas terik matahari sewaktu kemangkatan Permaisuri Tuanku Muhammad Shah, Tuanku Ampuan Halijah di Istana Seri Menanti pada tahun 1921. Tuanku Muhammad hanya mendiamkan diri sementara Tengku Muda Chik (Mentua Tuanku Muhammad Shah) yang terkenal dengan sifat tegasnya juga tidak berani membantah. Baginda hanya memandang sambil tersenyum tawar. Ketegasan Datuk Abdullah bin Panglima Muda memang diakui oleh semua orang termasuk Residen British di Negeri Sembilan beliau digelar sebagai " Lion Of Jelebu".

Ada satu lagi kisah yang menarik berkaitan dengan Datuk Abdullah, di dalam satu mesyuarat di kediaman Pegawai Daerah Jelebu, Datuk Undang Abdullah telah ditegur oleh Sir Andrew Caldecott, Pegawai Kanan British yang berkhidmat di Seremban, kerana tali kasutnya tidak diikat dengan betul. Menurut cerita, Datuk Abdullah bin Panglima Muda naik berang dan menyergah orang putih itu, " kalau begitu, awak saja yang ikat tali kasut kawan....!!" Caldecott tergaman dan terketar-ketar, tanpa berlengah lagi beliau tunduk badan lalu mengikat tali kasut Datuk Abdullah. Semua orang yang hadir termasuk pegawai daerah tidak dapat berbuat apa-apa. Sejak kejadian hari tersebut Datuk Abdullah sentiasa dihormati. Semua orang akan berhati-hati apabila hendak berkata-kata dengan Datuk Abdullah.
Beberapa tahun selepas kejadian itu, ( 1931), Sir Andrew Caldecott dilantik menjadi Ketua Setiausaha Tanah Melayu.

Pada 10hb Ogos 1945, Datuk Abdullah bin Panglima Muda telah menghembuskan nafas yang terakhir ketika berusia 74 tahun di Kampung Jelin.

Ihsan/petikan (C)
ceranablog.blogspot.com

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez