Saturday, November 20, 2010

Asal-usul jin saka

"Keunikan drama Saka Jentayu juga memaparkan seni tradisi Minangkabau seperti teater Randai, Saluang Jo Dendang dan Pencak Silat," katanya. Abdul Azizi berkata, cabaran paling besar mengarahkan drama itu apabila terpaksa bekerja dengan pelakon yang tidak pernah buat cerita seram. "Pemilihan barisan pelakon Saka Jentayu diputuskan pihak TV3. Ia bergantung kepada pelakon yang ada kelapangan untuk berlakon dalam cerita ini kerana pada peringkat awal memang ramai pelakon disenaraikan. "Nampaknya, ia memang rezeki Zarina Zainordin (Jentayu) dan Ungku Ismail Aziz (Faris) untuk beraksi sebagai watak utama dalam cerita ini. Apapun, semua pelakon termasuk pembantu memberikan komitmen seperti dikehendaki," katanya. Berkongsi mengenai proses penggambaran pula, kata Abdul Azizi, ia membabitkan tempoh tujuh hari (sebanyak 30 peratus) di Indonesia. "Penggambaran di kawasan pedalaman di daerah Batu Sangkar, Sumatera Barat, Indonesia juga mewujudkan suasana seram dalam drama ini. Ia membabitkan babak imbas kembali zaman muda Tok Jalit ketika menuntut ilmu hitam di sana.

"Pihak kami jayakan penggambaran di Indonesia kerana suasana kampung di sana jauh lebih cantik. Penggambaran juga dibuat di sekitar kawasan kampung di negara ini," katanya. Abdul Azizi berkata, apa yang menarik, pihaknya tampilkan pergerakan hantu seperti dalam filem seram Jepun, Ju Onn sedikit sebagai kelainan. "Buat CGI untuk babak kena rasuk juga mudah untuk mendapatkan 'mood'nya. Apabila kena rasuk, wajah pelakon juga tidak nampak pucat dalam cerita ini," katanya. Bagaimanapun, kata Abdul Azizi lagi, kekuatan cerita itu bergantung kepada barisan pelakonnya sendiri. "Saya pernah tiga kali bekerjasama dengan Zarina dan dia pelakon yang hebat. Dia faham ketika membaca dialognya. Begitu juga Ungku Ismail, walaupun kami baru kali pertama bekerjasama dengannya dalam drama," katanya.


Drama terbitan Wayang Tinggi Production ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Mubarak Majid, Liza Abdullah, Wan Hanafi Su, Hairi Safwan, Khairil Anwar, Fathil Dani dan Kuswadinata. Abdul Azizi berkata demikian pada sesi ramah mesra bersama barisan pelakon drama bersiri seram itu di Sri Pentas, baru-baru ini. Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 dan TV9, Nurul Aini Abu Bakar berkata, populariti slot Seram terbukti dengan rating purata mencecah 2 juta penonton pada setiap minggu. "Tidak dapat dinafikan cita rasa penonton yang menyukai drama berunsur seram terus memberikan ilham kepada pihak produksi dan TV3 untuk mempelbagaikan persembahan jalan cerita.


"Drama terbaru di slot Seram itu akan mengupas asal usul jin saka yang pernah diamalkan nenek moyang masyarakat Melayu di Sumatera, Indonesia pasti memberikan pengajaran kepada penonton supaya menjauhi kepercayaan tahyul dan mistik," katanya. Drama ini menceritakan perjalanan cinta Jentayu yang sering didatangi pelbagai halangan dan dugaan. Arwah suami Zarina meninggal dunia ketika mereka berbulan madu. Selepas beberapa tahun, Jentayu bakal bertunang dengan Faris. Malangnya, majlis pertunangan terpaksa dibatalkan kerana ibu Faris, Puan Sarimah diserang penyakit ganjil ketika mahu menyarungkan cincin ke jari Jentayu. Selepas kematian tragis Puan Sarimah, pelbagai cemuhan dilemparkan kepada ibu bapa Jentayu, Pak Suman (Mubarak Majid) dan Induk Awa (Liza Abdullah) sehingga memaksa mereka berpindah balik ke kampung Induk Awa. Jentayu dan Faris terpaksa berpisah. Faris memilih untuk mendalami ilmu agama dari Ustaz Hanafi (Fathil Dani). Kepulangan keluarga Jentayu ke kampung tidak disenangi Pak Sadun (Khairil Anwar). Jentayu pula sering diganggu jin saka itu. Pak Suman juga meninggal dunia akibat perbuatan langgar lari. Hidup Jentayu dan Induk Awa bertambah sempit. Mereka terpaksa berdepan dengan fitnah dan cemuhan disebarkan Pak Sadun. Pelbagai cabaran yang mengganggu kehidupan Jentayu dan dia turut dikecewakan oleh Zamri.


(c) MyMetro 2010

Wednesday, November 17, 2010

Mimpi penyatuan bangsa Melayu melalui Nusantara

Saya berdoa yang universiti ini tidak akan hilang cita-cita kebudayaannya yang asasi, terutama di dalam konteks lautan Melayu di mana kita hidup. Saya selalu merasa yang dunia Melayu yang maha luas ini telah memberikan banyak iktibar.

Dunia Melayu selalu terbuka luas, laksana samudera lepas yang mengelilingi dan selalu menerima serta menyedut akan pelbagai unsur yang menyentuh pantainya, tetapi di samping itu tetap mempertahan keperibadiannya yang unik. Dunia Melayu ini penuh keragaman daripada segi keagamaan, kebudayaan, kesenian serta adat resam, tetapi di bawah keragaman itu selalu terasa ada kesatuan yang mengikatnya."

Beliau menyatakan hal tersebut dalam syarahan perdana Profesor UKM pada 30 Januari 1990. Pada 20 tahun dahulu - yang penubuhannya "merupakan usaha gigih untuk menukarkan kebudayaan kolonial kepada kebudayaan nasional."

Wajar dicatat dalam konteks peralihan masa ialah ucapannya kepada ahli-ahli Royal Asiatic Society Malaysia Branch di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 Februari 1966 manakala menghuraikan perkembangan bahasa Melayu. Lantas disebut betapa bahasa Melayu selepas tamat perang menjadi bahasa kebangsaan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei.

Berucap dalam bahasa Inggeris beliau menyebut betapa pengajian Melayu telah berkembang di negara-negara lain, terutama di Australia, Amerika, England dan Russia. Sebelum itu dari kedatangan penjajah Eropah mulai abad ke-16 tidak meminati langsung untuk membuat kajian mengenai budaya dan bahasa rakyat tempatan. Ini berlaku selama 300 tahun.

Perubahan berlaku kemudiannya seperti di Singapura di bawah pemerintahan Stamford Raffles. Di Indonesia pegawai penjajah Belanda Snouck Hurgronge menganalisis bahasa warga Aceh, manakala di Tanah Melayu antara yang berperanan ialah Richard Windstedt.

Dalam pada itu para penyelidik Eropah tertarik minat mereka kepada pantun Melayu mulai tahun 1868. Ia menjadi bahan syarahan di sebuah universiti Belanda.

Kesedaran

Profesor Ismail Hussein menyentuh pendapat yang menganggap Hang Jebat sebagai wira, bukan Hang Tauh. Menurut beliau tiada apa pun bukti bahawa Hang Jebat wira masyarakat Melayu zaman silam.

Gambaran lebih jelas disebut dalam syarahan perdana di UKM (1990). Antara lain mengenai "kesedaran Melayu dalam erti luas serta penggunaan istilah "Melayu" dalam ertinya yang umum, cukup berkembang di Filipina, masyarakat Nusantara paling terbaik kepada pengaruh Barat."

Wira Filipina yang terbilang Jose Rizal yang mendapat jolokan The pride of the Malay race atau The Great Malayan menjadi model kemelayuan yang klasik.

Muncul juga ialah "jurubicara" dunia Melayu yang utama di Filipina pada pertengahan abad ke-20, bernama Wanceslao Vinzons, seorang pemuja Rizal. Beliau menyampaikan pidato berjudul Malaysia Irredenta yang "memaparkan mimpinya akan penyatuan bangsa-bangsa Melayu - Polinisea.

Beliau kemudian mengarang buku berjudul Malaysia Irrendenta yang mengandungi the history and civilisation of Southeast Asian Conturies belonging to the Malay race.

Beliau adalah nasionalis yang menentang pendudukan tentera Jepun di Filipina dan akhirnya hilang pada 1942, khabarnya ditembak mati oleh tentera Jepun.

Di Indonesia pula tokoh pelopor kemerdekaan Indonesia, Muhammad Yamin dari Sumatera Barat memperlihatkan keyakinan mendalam terhadap "peranan bahasa Melayu dan impiannya yang bahasa itu harus dijadikan bahasa kesatuan yang lebih mantap lagi."

Menurutnya "Selat Melaka ialah corong ke kepulauan kita, Malaya ialah batang leher kepulauan Indonesia daerah yang delapan. Menceraikan Malaya daripada Indonesia bererti dengan sengaja dari mulanya melemahkan negeri Rakyat Indonesia dalam perhubungan internasional."

Tetapi kemerdekaan yang diumumkan pada 17 Ogos 1945 wilayah Indonesia merdeka dibatasi pada kawasan Hindia Belanda "Dan selepas Muhammad Yamin gagasan Melayu Raya di Indonesia dari segi politiknya memang telah mati."

Menurut Profesor Ismail Hussein pergerakan Melayu Raya yang lebih berkesan di Tanah Melayu timbul di daerah pedalaman, bukan di pesisiran atau di kota pelabuhan. Ini terjadi di Maktab Sultan Idris di Tanjung Malim. Anak-anak muda banyak berasal daripada masyarakat petani.

Bagi beliau "akhir-akhirnya, tamadun Melayu adalah yang akan menjadi unsur penentu dan yang akan memberikan keperibadian yang lebih kepada kebudayaan kebangsaan Malaysia yang akan datang."

Tan Sri Profesor Emeritus Dato' Pendita (Dr.) Haji Ismail Hussein telah berkhidmat dengan Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau dipilih menjadi Ketua Satu GAPENA sejak ditubuhkan pada 23 Oktober 1970 dan menyandang jawatan hingga kini.

www.utusan.com.my

Wednesday, November 10, 2010

Hanya bahasa Melayu bahasa rasmi - Nik Safiah

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak pernah melarang penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat malah menggalakkan mereka menguasai bahasa antarabangsa itu.

"Kita juga telah menjadikan bahasa Inggeris selaku bahasa pengantar kedua di sekolah-sekolah selepas bahasa Melayu. Adakah ini masih belum mencukupi sehingga bahasa itu (Inggeris) juga perlu dijadikan bahasa rasmi?," soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Safiah berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan wakil parti DAP dari Datuk Keramat, Pulau Pinang, Jagdip Singh Deo yang mahukan bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua di negeri itu. Menurut Jagdip, ia selaras dengan hasrat menjadikan negeri itu sebagai bandar antarabangsa pada masa depan.

Cadangan wakil DAP itu disuarakan ketika Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam. Dalam pada itu, Nik Safiah menambah, penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa kedua dilihat seakan-akan memberi persaingan terhadap bahasa kebangsaan itu.

"Justeru, saya sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa rasmi kedua walaupun di Pulau Pinang," tegasnya lagi.

sumber: www.utusan.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez